Thursday, November 6, 2008

Tok Kolot

Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi. Setelah selesai mandi dan mengerjakan solat subuh, aku duduk di sisi Azizi. Dia kelihatan nyenyak tidur seolah-olah tidak ada apa yang berlaku pada pagi itu.

Pelajar tingkatan satu yang lain telah ke dewan makan untuk bersarapan pagi. Sekali lagi aku ditinggalkan seorang diri kerana kawan-kawan aku yang lain juga pergi bersarapan di dewan makan yang terletak di antara asrama lelaki dan asrama perempuan. Kalau ikutkan hati, ingin sahaja aku tinggalkan Azizi berseorangan dan pergi bersarapan bersama dengan mereka. Tetapi seandainya terjadi sesuatu yang tidak diingini, mungkin aku juga yang akan dipersoalkan. Oleh itu aku mengambil keputusan untuk terus memberanikan diri menemani Azizi yang masih tidak sedarkan diri.

Aku segera menoleh ke arah Azizi apabila katil yang aku duduki itu sedikit bergoyang. Badan Azizi kembali menggeletar dan menggelupur seperti tadi.

Azizi bangun dari katil. Matanya tepat memandang ke hadapan seolah-olah sedang dipukau oleh seseorang.

Aku yang berada disebelahnya turut bangun dan berdiri di antara dua katil (katil yang diduduki Azizi dan sebuah katil budak form 1 yang lain). Dalam keadaan cemas itu tiba-tiba aku mendapat satu idea.

Dengan sepantas kilat aku terus memegang ubun-ubun Azizi seperti dilakukan oleh cikgu Rahim. Ternyata petua yang aku perolehi secara tidak sengaja itu berhasil. Azizi menjadi lemah dan kembali tidak sedarkan diri. Keadaan kembali tenang.

Azizi kelihatan tercungap-cungap menarik nafas. Matanya masih tertutup rapat.

Keadaan yang kembali tenang itu tidak bertahan lama. Azizi bangun dan duduk secara berlunjur di atas katil. Kali ini dia tidak menggelupur seperti tadi. Aku cuba untuk memegang ubun-ubunnya sekali lagi agar dia kembali tidak sedarkan diri.

Namun usaha aku untuk memegang ubun-ubun Azizi kali ini agak sukar kerana dia mula melawan. Namun pergelutan itu tetap dimenangi oleh aku apabila aku berjaya memegang ubun-ubun kepalanya (walaupun sebiji penumbuk Azizi sempat singgah ke muka aku).

Tidak lama kemudian kawan-kawan aku yang lain pun sampai. Lega rasanya. Aku pun menceritakan peristiwa yang baru sahaja berlaku kepada mereka. Cerita aku terbukti benar apabila mereka sendiri menggunakan petua yang telah aku ceritakan dan hasilnya amat memuaskan.

Masing-masing di antara kami memikirkan bahawa petua yang ditunjukkan oleh Cikgu Rahim itu adalah petua untuk menolong mangsa sawan (rata-rata di antara kami menyangka Azizi hanya terkena sawan kerana terjatuh sewaktu menuju ke bilik air).

Azizi kembali mengamuk. Salah seorang kawan aku mencuba petua Cikgu Rahim. Namun ianya tidak berhasil walaupun telah dicuba beberapa kali. Bahkan kali ini Azizi menjadi bertambah agresif.

Kami memegang erat badan, tangan dan kaki Azizi. Azizi terus melawan. Dia seolah-olah ingin lari dari kepungan kami. Namun lama-kelamaan dia menjadi lemah dan kembali tidak sedarkan diri.

"Macamana dia?" Tiba-tiba Cikgu Rahim muncul di muka pintu.

"Macam tadi cikgu. Tapi bila kitorang guna petua cikgu tadi, dia pengsan balik."

"Petua... Petua apa tu?"

"Tadi kami tengok cikgu pegang ubun-ubun Azizi, pastu dia pengsan balik." Balas aku.

"Mana ada petua, saya main buat je."

"Ye ke... Tapi kami buat menjadi cikgu." Balas aku lagi.

"Tak apa. Awak semua jagalah dia dulu. Tadi saya dah maklumkan kepada Haji Isnin (Penolong Kanan HEP), nanti bila dah cerah kita bawak dia ke hospital." Sambung Cikgu Rahim lagi sambil berlalu dari muka pintu.

7.00 pagi. Pengawas-pengawas yang bertugas memeriksa bilik-bilik asrama mula bergerak dari bilik ke bilik. Mengikut peraturan asrama, pengawas akan memastikan bilik-bilik bersih dari sampah-sarap, kasut-kasut tersusun rapi di bawah katil dan tilam-tilam dibaluti cadar dengan kemas. Setelah semuanya beres barulah para pelajar dibenarkan meninggalkan kawasan asrama untuk ke blok akademik.

Salah seorang pengawas yang bertugas di blok D pada hari itu ialah Abang Nik. Dia berasal dari Terengganu dan kami memanggilnya 'abang' kerana sudah menjadi tradisi sekolah memanggil pelajar yang lebih senior dengan panggilan 'abang'.

Abang Nik masuk ke bilik. Pada mulanya dia agak hairan apabila melihat aku dan rakan-rakan yang lain duduk mengurumi seorang budak form 1. Namun setelah diceritakan tentang apa yang terjadi dia faham dan duduk bersama-sama kami di sebelah Azizi.

7.15 pagi. Pelajar-pelajar telah mengosongkan kawasan asrama dan berada di kawasan sekolah.
Manakala aku dan rakan-rakan aku yang lain akur dengan arahan Cikgu Rahim agar tidak meniggalkan Azizi seorang diri.

(Kami ketua-ketua blok D seramai lapan orang duduk di sebelah Azizi. Ada dua sebab kami tidak meninggalkan dia berseorangan. Pertama kerana memandangkan keadaan Azizi yang semakin membimbangkan. Dan yang keduanya sudah pasti kamilah yang akan diminta mengusung Azizi ke hospital, jadi bolehlah ponteng sekolah - sekali-sekala apa salahnya!)

Azizi kembali mengamuk. Oleh kerana katil yang kami gunakan untuk meletakkan Azizi itu terlalu hampir dengan pintu bilik dan tangga, maka kami pun memindahkannya ke bilik sebelah (bilik Asal Azizi yang terletak di sebelah bilik aku).

Agak menghairankan. Kalau diikutkan tubuh Azizi yang keding itu sepatutnya boleh diusung oleh salah seorang dari kami sahaja. Namun pada masa itu susah untuk aku gambarkan betapa payahnya usaha kami untuk mengusung Azizi kerana berat badannya yang amat luar biasa. Oleh itu hampir semua kami yang berada di situ terpaksa bersama-sama mengangkatnya ke bilik sebelah.

Berdialog dengan jin

Sebenarnya sejak dari tadi (sewaktu aku ditinggalkan kali kedua di mana rakan-rakan aku yang lain turun ke dewan makan) lagi aku dah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan budak ini. Kalau hendak dikatakan sawan atau pun blank akibat terjatuh, apa sebab dia hanya mengamuk bila aku ditinggalkan seorang diri oleh rakan-rakan aku? Lagi pun kenapakah petua Cikgu Rahim yang pada mulanya menjadi, tidak berhasil lagi apa bila di gunakan kemudiannya.

Dalam keadaan ini aku teringatakan kembali buku Ustaz Harun Din (Rawatan Pesakit Menurut Al-Quran dan As-Sunnah" 1 & 2) dan buku Tamar Jalis, Siri Bercakap Dengan Jin (Kini didigitalkan: http://tamarjalis.wordpress.com/). Tanda-tanda yang ditunjukkan oleh Azizi seakan-akan sama seperti yang telah dijelaskan oleh Ustaz Harun Din dan buku-buku Tamar Jalis berkenaan fenomena 'rasuk'.

Aku sememangnya berminat dengan ilmu perubatan Islam terutamanya berkaitan soal-soal mistik. Tambahan pula aku perlu mempersiapkan diri sekiranya peristiwa histeria sewaktu aku di tingkatan satu berulang kembali. Dan terbukti usaha aku tidak sia-sia.

Azizi terus menggelupur dan mangamuk sebaik sahaja diangkat untuk ke bilik sebelah.

Sebaik sahaja Azizi diletakkan di atas katil, aku mengarahkan rakan-rakan aku yang lain memegang Azizi dengan kuat. Bagi memastikan Azizi tidak dapat bangun, ada di antara kami menindih badan Azizi dengan badan mereka sendiri (kesian juga melihatkan Azizi diperlakukan sedemikian rupa).

Kemudian aku mengarahkan mereka agar memicit ibu jari tangan dan kaki Azizi dengan kuat dan jangan terlepas (sebenarnya aku sendiri tidak pasti adakah betul apa yang aku arahkan kepada mereka. Ini kerana aku tidak pasti ibu jari yang manakah harus dipicit seperti di dalam cerita SBDJ sewaktu datuk Tamar Jalis bertarung dengan syaitan atau jin).

Aku mendekati telinga kanan Azizi. Dengan perlahan aku baca ayat-ayat seperti yang terdapat dalam buku Ustaz Harun Din iaitu ayat ke-115 hingga akhir Surah Al-Mu'minun dan beberapa lagi ayat yang aku hafal termasuk ayat Kursi di telinga kanan Azizi.

Hampir lima minit berlalu. Tidak ada apa yang terjadi.

"Aduhhh....!" Azizi tiba-tiba mengerang kesakitan. Suaranya garau. Mukanya menyeringai seolah-olah menahan sebuah kesakitan yang amat dahsyat.

Aku bertambah yakin dengan usaha yang aku lakukan. Mungkin apa yang terjadi adalah hasil tindakbalas daripada ayat-ayat yang aku bacakan di telinganya.

Rakan-rakan aku terdiam. Hanya suara aku membaca ayat-ayat suci kedengaran, diselang-seli dengan rintihan Azizi.

Melihatkan keadaan Azizi yang kesakitan, ada di antara rakan-rakan aku yang mencadangkan agar jari-jari Azizi yang dipicit tadi dilepaskan. Namun aku membantah.

"Aummmm....!" Sekali lagi kami terkejut. Azizi mendengus seperti seekor harimau.

Kami berpandangan di antara satu sama lain. Bulu roma aku mula meremang.

“Siapa kau…?” Bentakku dengan keras. Keadaan menjadi sunyi seketika. Apa yang terdengar hanyalah dengusan dari Azizi.

Aku menjadi tumpuan rakan-rakan aku. Mungkin mereka hairan. Dengan siapa aku bercakap.

“Siapa kau…?” Ulang aku lagi apabila soalan aku tadi tiada respon.

“Tok Kholottt.….” Jawab Azizi sambil menahan kesakitan. Suaranya yang parau dan kasar yang datang dari kerongkongnya itu amat menyeramkam.

Sekali lagi kami berpandangan di antara satu sama lain. Masing-masing mempamirkan wajah kehairanan dan ketakutan.

“Kau datang dari mana..?” Soal aku lagi dengan suara yang agar terketar-ketar.

“Pokhok buluhhhh…!”

Sebaik sahaja soalan kedua dijawab oleh Azizi, keadaan menjadi agak kecoh kerana semua yang berada di situ mula mengemukakan soalan masing-masing kepada Azizi.

“Syyy…..Bagi dia bercakap.”

Tanpa aku sedari, Cikgu Rahim sudah ada bersama-sama kami. Aku pasti ‘dia’ yang Cikgu Rahim maksudkan itu adalah aku.

“Pokok buluh mana….?” Sambung aku lagi.

“Urghh... Belakhang Shhekolahhh……” jawabnya lagi dengan suara yang masih garau.

Keadaan menjadi kecoh kembali. Masing-masing memberi pendapat tentang pokok buluh yang manakah dimaksudkan Azizi.

Segitiga pokok buluh

Di sekolah ini terdapat empat rimbun pokok buluh. Tanpa disedari jika dibuat garisan dari rimbunan-rimbunan pokok buluh ini, ia akan membentuk satu segitiga meliputi sebahagian besar kawasan sekolah dan asrama.

Serimbun pokok buluh terdapat berhampiran blok D, serimbun di blok C (blok pelajar puteri) dan serimbun lagi di tepi Padang Sahara. Serimbun lagi pokok buluh terletak di tengah-tengah segitiga tadi, iaitu berhampiran dengan kantin sekolah.


Ilustrasi ringkas kedudukan rimbunan-rimbunan pokok buluh.


Jika pokok buluh yang dimaksudkan itu terletak di belakang sekolah, mungkin pokok buluh yang dimaksudkan itu terletak berhampiran Padang Sahara.

Memandangkan Azizi terpaksa menjawab soalan aku dalam keadaan menahan kesakitan, maka aku mengarahkan agar mereka melepaskan ibu jari tangan dan kaki Azizi. Tanpa aku sedari tindakan aku itu menyebabkan Tok Kolot yang berada dalam tubuh Azizi dapat melepaskan diri.
Mata Azizi terkebil-kebil sambil memandang ke arahku.

“Aduh sakit bang!” Kata Azizi sambil memegang ibu jari tangan kirinya.

Mengikut buku Ustaz Harun Din, kadang-kadang jin atau syaitan yang merasuk ke dalam tubuh manusia selalu menipu agar tidak lagi disakiti dengan ayat-ayat suci dan dihalau keluar.

Bagi memastikan bahawa Azizi yang yang berada dihadapanku ini adalah yang original, maka aku mengarahkannya membaca tiga Qul dan ayatul Kursi serta mengucap dua kalimah syahadah. Alhamdulillah, dia dapat membaca kesemuanya dengan lancar.

Cikgu Rahim menepuk bahu aku.

“Terer juga awak ni…” Katanya kepadaku.

Pada masa itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa 'kembangnya hidung' aku apabila dipuji sedemikian rupa dari seorang warden. Ingin sahaja aku tersengih bangga hingga ke telinga.

Memandangkan keadaan sudah kembali tenang, Cikgu Rahim mengarahkan rakan-rakan aku yang lain kembali ke kelas manakala aku dan Tambi memimpin Azizi ke bilik sakit sambil diiringi oleh Mazon, Toyib dan Yunus.

Ketika aku memimpin Azizi ke bilik sakit, pernah beberapa kali Azizi berkelakuan aneh. Ketika kami berjalan, dia berhenti beberapa kali. Semasa berhenti, matanya tepat memandang ke hadapan, badannya lurus seperti sedang mendengar lagu Negaraku dinyanyikan.

Aku menyuruh Azizi melakukan seperti apa yang telah dipesankan oleh Ustaz Harun Din dalam bukunya iaitu agar menyuruh orang yang baru sembuh dari dirasuk agar sentiasa membaca tiga Qul.

Setelah meninggalkan Azizi di bilik sakit dengan ditemani oleh seorang penyelia asrama, aku dan sahabatku terus menuju ke kelas. Dalam perjalanan ke kelas macam-macam dibincangkan oleh mereka. Aku hanya mendiamkan diri memikirkan apa yang telah terjadi tadi.

Setibanya di kelas aku menjadi tumpuan sahabat-sahabat aku. Tambahan pula cikgu yang sepatutnya mengajar pada waktu itu tidak masuk ke kelas.

Tepat jam 10.15 pagi loceng waktu rehat berbunyi. Kami semua bergegas keluar ke dewan makan.

Setibanya aku di dewan makan, aku dapati ramai pelajar berkerumun di sekeliling bilik sakit. Aku tak pasti apa yang menarik sedang berlaku di sana dan aku tidak terfikir pun untuk mengambil tahu hal tersebut. Apa-apa hal pun perut mesti diisi terlebih dahulu. Lagi pun aku dah terlepas sarapan pagi.

Tuesday, October 21, 2008

Menggelupur

Tumpuan mata aku beralih kepada Azizi apabila secara tiba-tiba sahaja tangannya menggeletik buat seketika. Aku agak lega kerana ianya berlaku selama beberapa saat sahaja.

Namun perasaan lega aku tidak lama apabila tangannya mula menggeletik kembali seperti terkena kejutan elektrik. Kali ini keadaannya bertambah membimbangkan kerana pada kali ini lengannya pula menggeletik. Aku menjadi resah. Member-member aku yang lain masih belum muncul. Apa patut aku lakukan sekiranya budak ini mengamuk sekali lagi.

Keadaan Azizi semakin membimbangkan apabila seluruh badannya pula mula menggeletik. Dada Azizi yang kering itu terangkat-angkat bagaikan ada sesuatu yang akan meledak dari dadanya.

Aku teringatkan suatu cerita dari Indonesia di mana mereka boleh menyihir seseorang sehinggakan dada dan perut orang yang terkena sihir itu pecah. Apa yang menghairankan ialah yang keluar dari dada dan perut orang tersebut adalah akar kayu yang tidak tahu dari manakah datangnya.

Azizi tidak menggeletik lagi namun keadaannya menjadi semakin teruk sehinggakan beliau menggelumpur di atas katil seperti ayam kena sembelih. Perasaan takut mula muncul. Aku menjerit memanggil-manggil memberku yang lain. Yunus yang mendengar jeritan aku terus naik ke tingkat atas menuju ke bilik aku.

Sebaik sahaja Yunus tiba di muka pintu, Azizi terus bangun dan berjalan keluar dari dormnya menuju ke arah tangga. Langkahnya agak pantas. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat seolah-olah ingin bergaduh dengan seseorang.

Aku dan Yunus terus mengejar Azizi. Kami bersama-sama memeluknya dari belakang.

Namun kekuatan yang dimiliki oleh Azizi amat luar biasa. Walaupun tubuhnya kecil dan kurus, aku dan Yunus tidak mampu menahannya. Malah kami berdua seolah-olah diseret pula oleh Azizi.

Kini Azizi sudah berada di anak tangga untuk turun ke aras bawah. Aku dan Yunus masih gagal menahannya.

Nasib baiklah cikgu Rahim yang terdengar jeritan aku tadi datang dari arah bertentangan. Beliau yang berbadan agak gempal dan seorang guru ragbi sekolah terus menahan Azizi dari menuruni tangga. Aku dan Yunus yang datang dari arah belakang terus sahaja memeluk Azizi. Kami bertiga bergelut seketika dengan Azizi.

Warden kami tersebut terus memegang ubun-ubun kepala Azizi. Azizi yang tadinya mengganas mulai lemah.

Kami bertiga mengangkat Azizi yang kembali tidak sedarkan diri. Memandangkan jarak bilik aku dan tangga adalah lebih dekat berbanding dengan dorm Azizi sendiri maka kami meletakannya dalam dorm aku.

Sekali lagi aku terpaksa menjawab soalan yang bertalu-talu dari warden. Selepas aku menceritakan apa yang terjadi, barulah beliau faham.

“Kamu jagalah dia dulu. Nanti siang kita bawa dia ke klinik.” Kata warden aku sebelum meninggalkan kami berdua. Sebaik sahaja cikgu Rahim meniggalkan aku dan Yunus member-member kami yang lain pun sampai.

Wirid yang dibacakan oleh ustaz di surau jelas kedengaran. Ini bermakna majlis solat subuh belum lagi berakhir. Nasib baiklah Yunus, Tambi dan Mazon mengerjakan solat subuh di dorm masing-masing. Kalau tidak tinggallah aku berseorangan bersama Azizi dan mustahil aku dapat hadapi masalah tadi seorang diri.

Memandangkan aku sahaja yang belum lagi mandi dan mengerjakan solat subuh, maka aku mengajak Tambi menemani aku ke bilik air yang jaraknya selang empat dorm dari dorm aku. Walaupun jaraknya hanya empat dorm, aku terpaksa melalui 3 dorm kosong yang dikatakan agak keras. Sekurang-kurangnya hilang sedikit rasa takut aku.

Sementara aku ke bilik air, member-member aku yang lain mengambil tempat untuk menjaga Azizi.

Monday, October 20, 2008

Blok D Yang Penuh Misteri

Makhluk hitam di hujung Blok D

BAGI aku tak menjadi masalah bagi aku untuk duduk berseorangan dalam bilik dan di sisi Azizi yang masih tidak sedarkan diri walaupun aku tahu serba sedikit mengenai sejarah hitam blok D. Namun begitu sesekali terasa seram juga kalau-kalau perkara-perkara yang tak diingini berlaku. Tambahan pula apa yang terjadi kepada Azizi masih menjadi misteri pada saat itu.

Peristiwa yang pernah terjadi kepada seorang warden yang juga merupakan seorang ustaz di sekolah ini tidak pernah luput dari ingatan aku walaupun telah diceritakan oleh seorang senior sejak aku form 1 lagi.

Seperti malam-malam yang lain Ustaz Mahmud akan mengadakan rondaan di sekeliling Blok D bagi memastikan kawasan jagaan beliau dalam keadaan yang selamat. Kesunyian yang mencengkam awal pagi kerana para pelajar sedang nyenyak tidur tidak sedikit pun mengganggu tugas ustaz kerana beliau yang berasal dari Kelantan ini dikatakan agak berisi orangnya.

Berbekalkan satu lampu suluh di tangannya ustaz memulakan tugasnya meronda blok D. Memandang rumah beliau terletak pada aras bawah sekali bangunan, maka rondaannya dimulakan dari aras tersebut. Sebaik sahaja beliau sampai di hujung bangunan yang terdapat satu paip air yang sering digunakan oleh para pelajar untuk membasuh pakaian atau mandi disaat-saat ketiadaan air, beliau terdengar semburan air yang menderu-deru dari paip tersebut.

Langkah ustaz terhenti sebaik sahaja tiba dipenghujung blok. Lampu suluh yang dibawanya dihalakan kepada paip air yang terdapat pada hujung blok tersebut. Dari cahaya lampu suluh yang samar-samar, ustaz dapat melihat seorang lelaki hitam yang bertelanjang bulat sedang melakukan sesuatu yang tidak dapat dipastikan oleh ustaz kerana lelaki tersebut sedang membelakangi ustaz.

Air paip terus mencurah dengan derasnya. Ustaz dapat memastikan bahawa bunyi air yang terdengar olehnya tadi adalah benar-benar datangnya dari paip tersebut. Beliau yang pada mulanya menyangka lelaki yang dilihatnya adalah seorang pelajar putera terus menyapa pelajar tersebut bagi memastikan apa yang sedang dibuat olehnya.

“Apa yang awak buat malam-malam buta ni?” Soal ustaz bercampur dengan sedikit rasa marah kerana pelajar tersebut masih belum tidur selepas jam 12.00 tengah malam dan berbogel di situ.

Lelaki yang disangkakannya seorang pelajar putera itu lantas memalingkan tubuh badannya ke arah ustaz.

“Gosok gigi ustaz…!”



Jantung ustaz yang pada mulanya berdenyut seperti biasa, mula berubah rentak. Paluan jantungnya menjadi kencang sebaik sahaja lelaki tersebut memalingkan mukanya ke arah ustaz. Dalam kesamaran cahaya lampu suluhnya dan lampu koridor, ustaz dapat melihat dengan jelas lelaki itu sedang menggosokkan giginya yang runcing tajam sambil darah membuak-buak keluar dari mulutnya.

Aku tak pasti sama ada ustaz menggunakan segala ilmunya atau tidak untuk melawan hantu tersebut, tapi yang pastinya seperti yang diceritakan senior kepada aku ialah ustaz tersebut telah menghidap demam selama 3 hari kerana terkejut dengan kejadian tersebut. Ustaz tersebut telah berpindah ke sekolah lain ketika aku berada di tingkatan 1 Maju.

Toyol

Pernah aku mendengar cerita dari senior aku tentang toyol yang berkeliaran pada aras aku, iaitu aras 3. Dulu budak-budak sering terdengar malah ada yang pernah melihat sendiri toyol-toyol ini bermain-main dan berlari-lari di koridor.

Seorang ketua dorm blok D yang agak terkenal dengan ketinggian ilmunya pernah cuba mengumpan toyol ini supaya keluar menunjukkan diri. Kejadian ini berlaku setahun sebelum aku menjejakkan kaki di sekolah ini. Ini bermakna kisah ini telah berlaku sejak lima tahun yang lalu.

Mengikut cerita, pada suatu malam yang sunyi, pelajar senior ini telah mengumpan toyol untuk keluar bermain dengan cicak disediakan sebagai umpan. Ini kerana mengikutnya toyol suka bermain-main dengan cicak malah seperti yang telah diceritakan ada yang pernah ternampak seekor toyol sedang bermain-main dengan seekor cicak.

Cicak yang telah ditangkap oleh pelajar ini diikat dengan seutas benang. Kemudian beliau bersama-sama dengan anak buahnya bersembunyi di dalam dorm sambil mengadakan upacara yang lain. Beliau meletakkan sebatang jarum dalam satu gelas yang berisi air. Apa yang menghairankan ialah jarum ini didapati tidak tenggelam. Mengikut senior yang menceritakan hal ini kepada aku, ini adalah trick semata-mata kerana mungkin beliau telah memekatkan larutan tersebut dengan garam sehingga menyebabakan jarum tersebut timbul. Menurut beliau kehadiran toyol akan dipastikan apabila jarum yang terdapat pada gelas tersebut berputar-putar dengan sendirinya. Namun mengikut senior aku, beliau gagal memunculkan toyol tersebut.

Walaupun sepanjang aku di blok D dan di SMSS amnya, tidak pernah berjumpa dengan makhluk ini (alhamdulillah). Namun terdapat cerita yang agak menyeramkan terjadi kepada seorang pelajar form 1 ketika aku dalam form 4.



Mengikut kisahnya, kejadian ini berlaku ketika seorang pelajar form 1 dalam perjalanan pulang ke asrama selepas kelas prep malam. Sebelum pulang, beliau menuju ke sebuah tong sampah besar terlebih dahulu untuk membuang sampah dari kelasnya. Sebaik sahaja beliau mengangkat tudung tong sampah tersebut, beliau mendapati terdapat seorang budak kecil hitam dalam keadaan berbogel di dalam tong sampah berikut. Mata budak ini besar, bewarna merah dan mempunyai gigi yang tajam.

Aku tak pasti sama ada kisah ini benar atau tidak. Namun ianya diceritakan sendiri oleh seorang ustaz kepadaku.

Makhluk Bongkok Di tengah Malam

Seperti biasa aku akan lepak terlebih dahulu bersama-sama ketua dorm yang lain di dorm Yunus selepas mengerjakan solat fardu Isya'. Pada malam itu turn aku kena kutuk dengan member-member aku kerana peristiwa pada hari itu sambil ditertawakan oleh ketua-ketua dorm yang lain.

Sewaktu di tingkatan satu, aku diletakkan sebilik bersama seorang rakan aku yang bernama Ruslan. Beliau berasal dari sebuah negeri pantai timur dan lebih dikenali dengan nama 'Sley'.

Terdapat satu peraturan di sekolah di mana para penghuni asrama dikehendaki mencuci dan mengemaskan bilik masing-masing setiap pagi Ahad. Peraturan ini lebih dikenali sebagai roll call dikalangan pelajar di sekolah ini.

Para pengawas dan juga warden akan membuat pemeriksaan dari bilik ke bilik bagi memastikan penghini asrama mengemas bilik masing-masing seperti mana yang dikehendaki oleh pihak sekolah.

Pada hari tersebut Cikgu Halim masuk ke dorm aku bersama beberapa pengawas. Cikgu Halim membuat pemeriksaan secara teliti termasuklah mengarahkan rakan sebilik aku menunjukkan berus gigi masing-masing.

Kami lantas mengambil berus gigi masing-masing yang terletak di dalam baldi kecil di bawah katil kecuali member aku Sley.

"Mana berus gigi kamu?" Soal Cikgu Rahim kepada Sley.

"Tak ada." Jawab Sley ringkas.

"Habis kamu tak gosok gigi?" Soal Cikgu Rahim lagi.

"Gosok."

"Dengan apa?" Soal Cikgu Rahim dengan nada suara agak tinggi.

"Jari." Jawab Sley sambil menunjukkan jarinya telunjuknya.

Dengan spontan aku dan rakan sebilik aku yang lain (termasuk ketua dorm aku yang lebih dikenali sebagai Camel) mentertawakan Sley.

"Nanti pergi ke ko-op (koperasi sekolah) , beli berus gigi. Apa ni gosok dengan jari!" Tegur Cikgu Rahim sambil keluar dari bilik.

Sejak dari itu aku menggunakan modal ini bagi mengutuk Sley sehinggalah kami di tingkatan 4. Namun malang tidak berbau, hari ini giliran aku pula ditertawakan Sley dan rakan-rakan aku yang lain.

Pada sebelah siangnya aku dan rakan sekelas aku telah membuat pemeriksaan gigi di klinik gigi yang terletak di kawasan asrama. Klinik gigi ini hanya beroperasi apabila pihak kesihatan membuat lawatan ke sekolah setahun sekali.

Nasib aku tidak baik pada hari tersebut kerana sebatang dari gigi geraham aku terpaksa dicabut oleh doktor gigi kerana gagal diselamatkan. Sebaliknya Sley yang aku gelakkan kerana menggosok gigi menggunakan jari pula mendapat markah kebersihan gigi yang terbaik.

Mereka terus mentertawakan aku bukan sahaja kerana gigi aku dicabut tetapi kerana pendarahan yang tidak berhenti akibat mencabut gigi siang tadi.

"Itulah mengutuk orang sangat. Orang cabut gigi kejap je berdarah. Ini sampai tengah malam dok berdarah lagi." Kata Yunus diikuti gelak ketawa member aku yang lain.

Sembang punya sembang, sedar-sedar jam telah menunjukkan pukul 1 pagi. Seorang demi seorang beransur menuju bilik masing-masing yang terletak di aras atas dan bawah bilik Yunus. Aku juga turut pulang ke bilik aku.

Aku terus merebahkan badan ke katil aku yang terletak dihujung bilik.

Suasana malam yang agak panas menyukarkan aku untuk melelapkan mata. Sesekali aku bergolek ke kanan dan sesekali aku kiri.

Sewaktu aku mengadap ke arah pintu bilik aku, tiba-tiba aku ternampak seolah-olah seseorang sedang berbongkok dan badannya deserkup dengan selimut berjalan masuk ke bilik dan menuju ke arah aku. Pergerakkannya agak laju dan ia berhenti di celah katil di antara aku dan katil budak form 1 di sebelah aku.

Aku yang menyangka ianya satu lagi usikan atau gurauan daripada Yunus terus bangun dan melepaskan satu tumbukan ke arahnya.

Tup! Bunyi tangan aku menumbuk simen lantai. Makhluk tersebut tiada di situ.

Apa yang aku nampak tadi? Yunus ke, atau.....

Tanpa membuang masa aku terus berlari keluar dari bilik menuju ke bilik Yunus di aras bawah. Setibanya di bilik Yunus aku terus tidur di katil sebelah Yunus yang kebetulannya kosong.

Keesokan harinya aku tetap tidak menceritakan kisah tersebut kepada Yunus kerana bimbang ditertawakan lagi oleh mereka walaupun disoal bertubi-tubi oleh Yunus.

Friday, October 17, 2008

Kejadian Pada Waktu Subuh

Pitam

Kebanyakan para pelajar bangun seawal 5.30 pagi bagi menyiapkan diri untuk ke surau. Begitu juga Azizi. Walaupun Azizi berasa agak kurang sihat pada pagi itu, namun dia tetap melawan segala perasaan itu. Kegagalannya untuk turun solat berjemaah akan menyebabkan dia bakal didenda oleh seniornya iaitu abang-abang ketua dorm Blok D.

Azizi mencapai tualanya yang disangkut pada kepala katil. Kalau ikutkan hati mahu saja dia kembali ke katil, tetapi memandangkan rakan-rakannya yang lain telah siap untuk turun ke surau, maka digagahinya juga untuk ke bilik air.

Azizi tetap melangkah keluar dari biliknya. Sebaik sahaja keluar dari dormnya, Azizi dapat rasakan yang dia seolah-olah gagal mengawal dirinya. Dia tetap melangkah, hinggalah dia tidak tahu apa yang terjadi kepadanya kemudian.

Kecoh

Kesejukan pagi itu menambahkan lagi mood aku untuk terus tidur. Lagipun aku sudah berulangkali memesan anak buah aku supaya mengejutkan aku sebelum mereka semua turun ke surau. Mengikut peraturan sekolah, solat fardu subuh adalah diwajibkan kepada semua pelajar putera untuk mengerjakannya secara berjemaah di surau.

Namun bagi aku yang merupakan salah seorang dari ketua dorm budak-budak form 1 adalah merupakan lesen bagi aku untuk poteng dari berjemaah. Ini kerana warden-warden kami menganggapkan bahawa kami semua adalah dari golongan yang baik-baik dan mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada kami. Pemilihan ketua-ketua dorm pelajar form 1 dilakukan dengan teliti oleh pihak sekolah bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa buli abang-abang yang lebih senior. Disamping itu mereka juga (pelajar form 1) diasingkan di blok yang berlainan iaitu Blok D.

Namun sekali-sekala saja aku mengambil peluang ini (tidak turun berjemaah) kerana jika ada di antara kami yang kantoi, maka sediakanlah punggung untuk disinggahi rotan Pak Ali di depan surau selepas solat magrib. Malu besar dibuatnya.

Dalam keadaan di antara sedar dengan tidak, aku terjaga dari tidur apabila terdengar kekecohan di dorm sebelah. Seorang anak buah aku datang kepada dan memberitahu bahawa ada budak mengamuk di dorm sebelah.

Tanpa berlengah lagi aku terus ke dorm sebelah yang hanya dipisahkan oleh barisan locker penghuni bilik aku dan bilik sebelah. Setibanya aku di bilik sebelah, aku dapati budak form 1 yang dimaksudkan itu telah pun terbaring di atas sebuah katil dan aku tidak pasti sama ada dia tidur atau pun sebaliknya. Namun budak itu kelihatan bernafas tercungap-cungap seolah-olah baru sahaja menamtkan larian 100m.

“Apasal ni?” Soal aku pada dorm mates budak tersebut.

“Dia terjatuh masa nak ke bilik air, bang.” Jawab salah seorang dari anak buah aku.

“Habis tu, apasal dia mengamuk pulak.” Tanyaku lagi kerana mengesyaki mungkin berlaku satu pergaduhan sesama mereka.

“Tak tahu bang. Selepas dia jatuh dia terus pitam. Saya dan kawan-kawan angkat dia ke bilik, tetapi sebaik sahaja sampai, dia terus sedar dan mengamuk tak tentu pasal.” Jawabnya lagi.

Aku menoleh ke arah katil Taib iaitu ketua dorm sebelah bilik aku. Dia masih lagi berselimut seolah-olah tidak ada apa yang berlaku di biliknya itu.

“Apasal tak kejut Abang Taib?” Soalku lagi merujuk kepada ketua dorm budak tersebut.

“Dah bagi tahu dah, dia buat tak tahu je.”

Cilakak punya Taib, sia-sia jadi ketua bilik. Bab mendenda, raging budak-budak nombor satu. Tapi time budak-budak dalam kesusahan, dia terus layan tidur.

Tidak lama kemudian, ketua-ketua dorm blok D yang lain pun datang. Aku menerangkan apa yang telah terjadi. Ada yang memberi pandangan mungkin budak ini pitam sebab terjatuh kerana lantai yang licin. Ada pula yang mengaitkan keadaan budak tersebut mengamuk kerana disebabkan oleh penyakit sawan.

Tidak lama kemudian azan subuh berkumandang. Member-memberku yang lain turun ke dorm masing-masing yang terletak di aras satu dan dua. Maka tinggallah aku berseorangan di samping budak tersebut yang terlentang di atas katil. Pada ketika ini semua anak buah aku dan lain-lain budak form 1 sudah berada dalam surau.

Thursday, October 16, 2008

Makhluk Aneh Di Pokok Buluh

1994-Tingkatan 4

Jam telah menunjukkkan tepat pukul 10.45 malam. Suasana di kawasan bangunan sekolah mulai riuh-rendah dengan suara pelajar lelaki walaupun kelas persediaan malam belum berakhir. Pelajar perempuan baru sahaja pulang ke bilik masing-masing kerana waktu prep mereka tamat lebih awal dari pelajar lalaki. Cerita-cerita berkenaan Hari Raya Puasa yang telah basi sejak hampir tiga minggu yang lalu masih menjadi perbualan para pelajar. Walaupun telah berulangkali para warden mengingatkan para pelajar agar meneruskan study sehingga tepat jam 11.00 malam, namun agak susah bagi mereka mengawal keaadaan ini. Malah ada pelajar yang kononnya taiko telah meninggalkan kelas terlebih awal dari sepatutnya.

Tepat jam 11.00 malam, loceng automatik yang menandakan tamatnya prep kedengaran. Tatkala ini suasana di kawasan bangunan sekolah menjadi gamat dengan bunyi tapak kaki dan suara para pelajar. Ada di antara mereka yang menuju ke surau mengerjakan solat Isya’ dan ada yang pergi ke kantin terlebih dahulu untuk mengisi perut (walaupun pihak dewan makan telah menyiadakan air teh untuk para pelajar) dan tak kurang juga yang terus ke bilik kerana terlalu mengantuk.

Azizi seperi seperti biasa menggunakan jalan berhadapan dengan pondok pak guard untuk pulang ke biliknya. Memandangkan Azizi baru sahaja menjadi warga SMSS, maka beliau belum lagi mempunyai rakan karib untuk berjalan bersama-sama. Tambahan pula perangainya yang kurang bergaul dengan sahabat-sahabatnya menyebabkannya agak tersisih.

Setiap petang Azizi hanya duduk termenung di atas busut di tepi sebuah kolam. Kolam ini pula terletak di bawah serimbun pokok buluh yang terletak di tepi Padang Sahara. Padang ini dikenali sebagai Padang Sahara memandangkan keadaanya yang berpasir kasar, kesan daripada kegiatan perlombongan puluhan tahun yang lalu.

Mungkin bagi menghilangkan rasa bosannya, Azizi melomparkan sebiji dua batu ke arah penghuni kolam tersebut iaitu tuntung dan ikan tilapia. Begitulah aktiviti Azizi sehingga tamat waktu bermain petang iaitu pada jam 6.15 petang.

Azizi tidak merasakan apa-apa yang aneh pada dirinya pada malam itu sehinggalah beliau berpaling kearah serimbun pokok buluh yang terletak di tengah-tengah kawasan sekolah. Dibawah pokok buluh ini juga terdapat sebuah kolam yang dihuni oleh tuntung dan ikan tilapia.

Kini matanya tertumpu pada pokok buluh tersebut. Beliau nampak seseorang melambai-lambai ke arahnya. Bagaikan dipukau, Azizi menghampiri pokok buluh itu walaupun bersendirian.

Sebaik menghampiri rumpunan pokok buluh tersebut darah Azizi tiba-tiba tersirap. Jantungnya mula berdegup dengan laju. Beliau ternampak satu makhluk aneh yang mempunyai ketinggian lebih kurang lima hingga enam kali lebih tinggi berbanding dengan dirinya. Walaupun jaraknya dengan makhluk tersebut adalah lebih kurang 1o meter, Azizi nampak dengan jelas rupa makhluk tersebut.

Makhluk itu mempunyai rambut yang panjang, mata yang kemerahan, taring yang panjang sehingga ke dada serta jari-jemari yang runcing beserta kuku yang panjang. Makhluk itu terus melambai-lambaikan tangannya kepada Azizi. Tanpa membuang masa, Azizi membuka langkah seribu dan menuju ke biliknya tanpa memandang kebelakang lagi.

Wednesday, October 15, 2008

Histeria

1990 - Tingkatan 1

Aku seperti biasa tekun menelaah pelajaran ketika berada dalam kelas. Sesekali terasa membahang juga suhu di dalam kelas terutama pada petang-petang begini. Sesekali aku menoleh juga kepada member-memberku yang lain. Masing-masing sibuk atau buat-buat sibuk dengan kerja masing-masing. Suasana prep petang begini adalah amat memboringkan. Apatah lagi kelas di kawal oleh kakak prefect yang lebih senior dari kami.

Mungkin bagi menghilangkan keboringan ini, Aris ketua kelas 1 Maju melontarkan pandangannya keluar kelas. Aku tak pasti apa yang direnungkan olehnya. Mungkin kawasan "stinggarden" (setinggan.) yang terletak di tepi pagar sekolah.

“Kak, ada orang pengsan kak!”, Suara Aris memecah kesunyian.

Kami bagaikan telah diberi arahan oleh seorang komander tentera, bingkas bangun dan menuju ke tepi tingkap. Aku dapat melihat Aziani terbaring di bawah pokok ara yang agak tua umurnya. Aris dan beberapa orang pelajar lelaki di dalam kelas kami pun segera mengangkat Aziani dan membawanya ke dalam kelas. Aku serta member-member aku yang lain hanya mampu tercegat di tepi tingkap.

Aziani di letakkan di atas meja dalam kelas kami. Budak-budak Tingkatan 1 Jaya yang terletak bersebelahan kelas kami datang menyibuk ke kelas kami untuk mengetahui apa yang terjadi di kelas kami.

Tiba-tiba keadaan bertambah kelam-kabut apabila Aziani tersedar sambil memekik tak tentu arah. Bulu roma aku mula meremang. Aku rasa lain macam saja pekikan Aziani. Suaranya agak mendayu-dayu dan tak macam orang perempuan biasa menjerit ketika dalam bahaya. Laungannya amat menyeramkan.

Mulai dari hari itu kelas kami sentiasa diserang histeria. Mula-mula Aziani menjerit. Kemudian diikuti oleh dua atau tiga classmate kami yang lain. Jangkitan histeria ini bukan sahaja terhenti setakat kelas kami sahaja. Ini kerana mereka yang berada di kelas lain pun apabila terdengar jeritan Aziani akan turut diserang histeria. Apa yang menyeramkan aku ialah suara mereka yang mendayu-dayu dan bersahutan di antara satu sama lain seperti sekempulan serigala yang nampak sesuatu yang menyeramakan. Apatah lagi jika ia terjadi pada waktu prep malam.

Kejadian ini berlaku agak lama juga. Malah ketika cikgu kami sedang mengajar pun kejadian histeria berlaku. Syok juga kadang-kadang. Ini kerana apabila berlaku kes histeria di kelas kami, bukan sahaja kelas subjek tersebut tergendala malah kelas selepasnya juga tergendala bagi menguruskan mangsa-mangsa histeria. Sekurang-kurangnya seorang mangsa perlu dipegang oleh tujuh-lapan orang memandangkan mangsa-mangsa ini mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Kami pelajar lelaki hanya mampukan memandang, memandangkan kesemua mangsa histeria tersebut adalah pelajar perempuan.

Kemuncak kepada peristiwa ini berlaku pada suatu malam di mana para mangsa dikumpulkan di dewan besar sekolah. Banyak tilam dari asrama dibawa ke dewan bagi meletakkan mangsa-mangsa histeria tersebut.

Memandangkan aku masih junior pada masa itu, aku hanya dapat meninjau dari jauh... dari blok D yang tersemadi misterinya yang tersendiri!.

Sejak malam itu kejadian histeria tidak lagi terjadi. Malah Aziani yang menjadi mangsa pertama peristiwa tersebut telah bertukar ke sekolah lain.

Banyak lagi kisah mengenai peristiwa itu di luar pengetahuan aku. Ah tak kisahlah, mungkin suatu masa nanti, aku juga akan alaminya sendiri……

Tuesday, October 14, 2008

Pendahuluan

Assalamualaikum….

Siri KG KONGO ‘X’ FILE ini adalah merupakan salah satu pengalaman yang sukar dilupakan oleh penulis ketika belajar di sebuah sekolah berasrama di sebuah kawasan di Selangor yang pernah dikenali sebagai sebagai Kg Kongo.

Penulisan siri ini telah bermula pada 29 September 1998 iaitu setelah hampir empat tahun aku meninggalkan zaman persekolah. Namun disebabkan oleh kekangan masa, ianya gagal disiapkan sehingga kini.

Sejak akhir-akhir ini banyak berita berkaitan serangan histeria di sekolah-sekolah menjadi bualan media massa. Bagi aku tidak ada apa yang menarik berkenaan berita ini sehinggalah aku menonton sebuah rancangan tv yang menyiarkan tentang kejadian misteri ini. Apa yang menarik perhatian aku adalah salah sebuah sekolah yang diberitakan diserang histeria adalah sekolah lama aku.

Aku teringat kembali kejadian histeria sewaktu aku berada di sekolah tersebut. Lantas mencari kembali catatan aku di dalam floopy disk yang telah tersimpan sekian lama. Alhamdulillah floopy disk tersebut masih boleh dibaca oleh drive A.

Siri ini dipersembahkan kepada pembaca sekalian bukan bertujuan menakutkan para pembaca apatah lagi memesongkan akidah para pembaca. Sebaliknya ia adalah satu bukti akan kekuasaan Allah S.W.T. yang berkuasa menciptakan pelbagai jenis makhluk di dunia ini disamping berkongsi pengalaman dengan para pembaca.

Sebenarnya pengalaman ini adalah merupakan sesuatu yang sukar untuk diceritakan kepada mereka yang tidak mengalaminya bersama-sama dengan penulis. Apatah lagi mereka yang berada bersama-sama dengan penulis di lokasi kejadian-kejadin ini berlaku pun berasa sangsi untuk mengatakan ia bahawa benar-benar terjadi. Oleh sebab itulah penulis menyerahkan kepada para pembaca sekalian sama ada untuk mempercayainya atau tidak. Atau hanya menganggapnya sebagai satu hiburan.

Penulis memohon maaf sekiranya susunan cerita in tidak mengikut urutan yang betul kerana catatan asal penulis tentang peristiwa ini telah ditinggalkan oleh penulis di dalam almari penulis sebelum meninggalkan sekolah tersebut belasan tahun yang lalu. Ini adalah kerana penulis sendiri berasa bingung dan hilang kepercayaan pada diri penulis sendiri semenjak peristiwa tersebut.

Kepada mereka yang terlibat, penulis telah sedaya upaya melindungi identiti kalian dengan mengubah nama kalian. Penulis memohon maaf sekiranya masih menggunakan nama sebenar kalian dalam siri ini tanpa kebenaran terlebih dahulu.

Wassalam...